Friday, May 6, 2016

Berapa kerap anda patut cuci peti ais?

Adakah anda dalam golongan yang hanya membersihkan rumah secara menyeluruh (spring cleaning) pada setiap kali musim perayaan saja? Kajian mendapati rumah kita sebenarnya lebih banyak membiakkan kuman berbanding tong sampah awam! Cuba lihat senarai di bawah ini, mesti rasa geli, dan segera mahu mencuci dan mengemas. Dan ini hasil kajian sains ya.



1- Mikrowave
Lap mikrowave setiap kali selepas digunakan, cuci setiap dua minggu dan buat cucian menyeluruh sebulan sekali. Untuk lebih selamat, ambil cuka putih, letakkan di dalam microwave dan panaskan seketika. Biarkan seketika di dalam microwave dan lap wap didalamnya. Ini cara mudah yang boleh dilakukan selalu.

2- Tab mandi
Tab mandi juga mesti dibersihkan setiap minggu. Ada kajian dibuat mendapati bakteria pada tab mandi adalah lebih banyak berbanding di tong sampah. Kajian itu mendapati bakteria di tab mandi lebih banyak menyebabkan masalah jangkitan kulit berbanding bakteria di tong sampah. Eyeeeww!

3- Cadar
Bersih atau kotor sarung bantal, cadar dan sarung tilam bergantung kepada rutin harian isi rumah. Jika anda menjaga kebersihan badan, mandi sebelum tidur, dan tidak melepak di atas katil, cukuplah dengan menukarnya setiap 2 minggu. Jika tidak, mesti tukar seminggu sekali. Faktor cuaca dan jenis badan yang kuat berpeluh juga menyebabkan tempat tidur lebih kotor daripada biasa.

4- Peti Ais
Peti ais mesti dibersihkan setiap bulan, terutamanya di tempat menyimpan sayur- sayuran. Cara yang lebih baik ialah dengan menyimpan sayur yang siap dipotong ke dalam bekas makanan bertutup. Perlu diingat peti ais ialah tempat menyimpan makanan harian, jadi kebersihan makanan amat bergantung kepada kebersihan peti ais.

5- Komputer
Papan kekunci (keyboard) amatlah kotor kerana ramai orang suka makan sambil melakukan kerja, dan tangan mereka juga memegang pelbagai benda, dan anggota badan sambil menaip (yuck!). Bersihkan setiap hujung minggu dengan disinfectant spray, dan guna cotton swap yang direndam dengan alkohol untuk mengelap permukaan keyboard, dan jangan lupakan juga mouse.

6- Bantal 
Penting untuk kita ketahui bahawa bantal tidak boleh digunakan selama- lamanya! Bukan sahaja kita perlu menukar sarung bantal, bantal itu sendiri mesti dibasuh setiap 3 bulan. Dan ganti dengan bantal baru setiap  6 bulan, terutamanya mereka yang mengidap allergi.

7- Tuala
Adakah anda hanya menukar tuala selepas ia bertukar bau dan rupa? Eyeeww! Tuala mengandungi beribu- ribu sel kulit mati yang tertanggal semasa kita mengelap badan. Cara penggunaan terbaik ialah dengan menukarnya selepas 3 kali guna.

Sumber rujukan : MY DOMAINE

Wednesday, May 4, 2016

10 Kegunaan Lemon Untuk Tugas Mencuci Di Rumah

Lemon mengandungi pH yang rendah dan kandungan citric acid di dalamnya mampu membunuh bakteria. Ini menjadikan lemon sangat versatile digunakan dengan pelbagai cara di seluruh rumah. Baunya juga sangat harum dan segar, dan yang paling penting ianya selamat digunakan oleh keluarga yang mempunyai anak- anak kecil di rumah. Jika anda mahu menggunakan lemon untuk tujuan membersih dan membunuh kuman, pastikan anda bilas dengan air suam dan juga lap dengan menggunakan kain yang bersih dan kering.



Antara 10 kegunaan lemon untuk tujuan mencuci yang paling popular ialah: 

1- Ambil jus lemon dan gosok pada papan pemotong dan biarkan semalaman sebelum membilasnya dengan air. 

2- Ambil jus lemon dan campurkan dengan 3/4 cawan air, dan panaskan di dalam microwave sehingga mendidih. Setelah mendidih, jangan buka pintu microwave selama 10 minit. Kemudian buka microwave untuk mengelap kekotoran yang tinggal dengan kain bersih. 

3- Perah jus lemon dan campurkan dengan air di dalam botol penyembur. Gunakan setiap kali ingin membersih permukaan meja dan kaunter dapur sebelum mengelap dengan kain bersih. 

4- Campur jus lemon dengan garam, dan gunakan ia untuk menggosok kekotoran pada grill dan oven. 

5- Potong lemon dan letakkan di dalam peti ais untuk menghilangkan bau makanan. Tukar setiap minggu untuk kesan yang lebih baik. 

6- Potong lemon dan ramas serta gosok pada tangan beberapa ketika untuk menghilangkan bau pada tangan selepas memotong daging, ayam atau ikan. 

7- Campur jus lemon dengan air di dalam botol penyembur dan gunakan untuk membersihkan cermin.

8- Perah 1/2 cawan jus lemon dan tuang ke dalam mangkuk tandas dan kemudian flush untuk membunuh bakteria dan memberi bau yang segar. 

9- Bersihkan anting- anting dengan meletakkan ia di dalam perahan jus lemon beberapa ketika di dalam piring. 

10- Campurkan perahan lemon di dalam cecair pencuci pinggan mangkuk untuk memudahkan lagi kerja mencuci barang- barang yang berminyak. 

Monday, May 2, 2016

3 jenis bahan pencuci 100% selamat untuk kanak- kanak

Kita sering mencari solusi untuk memastikan rumah dan anak- anak sentiasa dalam keadaan selamat, sihat dan ceria. Anak- anak yang sedang membesar, dan terutamanya yang berusia di bawah 3 tahun perlu pengawasan yang rapi kerana setiap penjuru rumah, setiap keperluan dan barang- barang yang ada di dalam rumah berpotensi untuk menjadi risiko dan membawa bahaya kepada mereka. Bahan pencuci adalah salah satu kategori barang di dalam rumah yang boleh menyumbang kepada kemalangan ke atas anak- anak ini. Sebab itulah bahan- bahan pencuci yang berkuasa, akan dilabel "KEEP OUT OF CHILDREN" dan jika amaran ini difikir secara logik dan praktikal, ia tidak boleh pun berada di dalam rumah kita! Namun begitu 3 jenis bahan pencuci yang disenaraikan di bawah boleh menjadi alternatif kepada kita untuk digunakan tanpa rasa risau terhadap keselamatan anak- anak.



1- Baking Soda
Penggunaan baking soda sebagai pengganti bahan pencuci adalah sangat popular. Ada beberapa cara yang anda boleh cuba. Yang pertama, hanya dengan menabur serbuk baking soda pada tempat yang hendak di cuci dan sental. Tempat yang paling sesuai untuk penggunaan baking soda ialah seperti di dinding sinki, dan di atas kaunter dapur. Jika lubang sinki berbau, hanya letakkan beberapa sudu baking soda ke dalamnya, dan jirus dengan air. Sekiranya ada kerak yang degil di dalam periuk, anda boleh letak baking soda dan air, rebus beberapa ketika. Setelah itu anda boleh lihat kerak menjadi lembut dan boleh dibasuh. 

2- Cuka Putih 
Walaupun cuka mempunyai bau yang agak kuat, ia sebenarnya sangat selamat. Antara kegunaan cuka termasuklah mengekalkan warna pakaian yang dibasuh setiap hari. Hanya campurkan satu sudu cuka ke dalam basuhan, dan anda tidak perlu lagi menggunakan merosakkan pakaian kerana tersalah campur bahan pemutih ke atas pakaian berwarna. Cuka juga boleh digunakan untuk membersih peralatan rumah seperti mesin pencuci pinggan mangkuk dan mesin basuh yang biasanya kotor dan mudah rosak disebabkan oleh tinggalan bahan pencuci seperti sabun. 

3- Lemon (my favourite!) 
Buah lemon bukan saja berbau wangi dan segar, ia juga dapat membunuh bakteria daripada merebak di dalam rumah. Antara tempat yang paling banyak bakteria ialah di papan pemotong, sinki dan di kaunter dapur. Caranya sangat mudah, hanya potong lemon dan gosokkan pada tempat yang ingin dibersihkan. Anda juga boleh basuh tangan dengan lemon selepas memotong daging, ayam atau ikan. 

3 bahan yang ringkas ini sememangnya sentiasa ada di dalam kebanyakan rumah- rumah, jadi tidaklah menjadi satu masalah untuk digunakan setiap hari. Selain ianya sangat mudah digunakan, yang paling penting ianya selamat sekiranya diambil oleh anak- anak. Selamat mencuba! 

09 10